aku terbaca artikel nie, rasenyer elok aku berkongsi dengan kome semua..
- Laporan
Bank Negara mendedahkan hampir separuh daripada pemegang kad kredit yang
diisytiharkan bankrap adalah mereka yang berusia di bawah 30 tahun!
- 15 peratus daripada hampir 40,000 individu yang
menyertai program pengurusan kredit Agensi Kaunseling dan Pengurusan
Kredit (AKPK) adalah mereka yang berusia bawah 30 tahun!
Muda-muda lagi sudah
menanggung beban hutang dan kemungkinan diisytiharkan muflis! APA perasaan anda
apabila menyandang status muflis pada usia yang masih terlalu muda? Muflis
terjadi apabila berlaku situasi ketidakupayaan membayar kembali hutang,
liabiliti, entiti, aset atau apa jua kaedah dalam urus niaga mata wang kertas
kepada pemberi hutang melebihi tempoh yang dibenarkan.
Gerun?
Apa sebenarnya yang
dimaksudkan dengan kad kredit?
Kad kredit merupakan
satu kaedah pembayaran yang membolehkan pengguna membeli barangan atau
mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai. Kad plastik ‘ajaib’ ini
membolehkan kita membeli secara kredit dengan had maksimum yang boleh dicaj.
Apabila seseorang pengguna menggunakan kad kredit, pengeluar kad kredit akan
membayar kepada peniaga terlebih dahulu bagi pihak pengguna dan kemudiannya
meminta bayaran daripada pemegang kad kredit dalam bentuk penyata bulanan.
Frank MacNamara
memperkenalkan konsep kad kredit ini pada tahun 1950 dengan tujuan untuk
memudahkan pembayaran. Pada ketika itu hanya golongan kelas atasan sahaja yang
mampu menggunakan kad kredit. Bagaimanapun, sekarang ini kad kredit telah mampu
dimiliki orang kebanyakan. Di negara kita penggunaannya semakin meluas apabila
kerajaan membenarkan pemilik kad kredit kepada individu berpendapatan RM1500
sebulan atau lebih, bermula 28 Julai 1999.
Segala-galanya menjadi mudah dengan kad kredit. Tidak perlu
membawa wang tunai dalam jumlah besar. Keselamatan lebih terjamin daripada
risiko disamun atau kemungkinan wang hilang. Gaya hidup moden mementingkan
keberkesanan dan nilai kepuasan setiap barang dan perkhidmatan digunakan. Kad
kredit antara perkhidmatan memberi kemudahan dan kepuasan kepada pemiliknya.
Ramai orang berpendapat bahawa kad kredit adalah simbol kemewahan dan harus
dimiliki oleh mereka. Sebaliknya, kini kad kredit ini telah menjadi seolah-olah
”ceti teknologi” kerana ia boleh menyebabkan pemegangnya terjebak dalam masalah
hutang.
Menurut sumber yang dipetik daripada Bank Negara Malaysia(BNM),
sebanyak 8.8 juta kad kredit dikeluarkan oleh institusi kewangan di seluruh
negara dengan purata setiap pemilik mempunyai 3 kad kredit. Lagi, hutang kad
kredit ini bertambah 20 peratus pada setiap tahun. Dengan kadar faedah 1.5
peratus sebulan, bank-bank di Malaysia dengan mudah mendapat keuntungan faedah
berjumlah RM159 juta setiap tahun tidak termasuk caj-caj untuk perkhidmatan
lain seperti caj pengeluaran tunai (5%) dan caj lambat bayar (RM5).
Hebat?
Tapi kalau digunakan
secara baik, rasanya tak akan menimbulkan masalah.
Masalahnya sekarang,
kad kredit ini lah yang telah menjadi bahana utama dalam hidup, terutamanya
bagi orang muda.
Mengapa pula?
Mari kita tinjau
faktor-faktornya yang menyumbang pada bahana kad kredit:
1. Kelonggaran dan
galakan yang diberikan oleh pihak kerajaan. Mengikut peraturan yang
dikuatkuasakan, seseorang yang berpendapatan RM1,500 sebulan layak untuk
memiliki kad kredit. Tujuannya adalah untuk menggalakkan pertumbuhan sektor
kredit yang terjejas teruk ekoran daripada kegawatan ekonomi yang sedang
melanda negara kita.
2. Sekarang ada pula kaedah ‘gali lubang timbus lubang’ dalam
menyelesaikan masalah hutang kad kredit. Bank-bank di Malaysia menawarkan kad
kredit baru atau tawaran memindahkan jumlah hutang daripada kad kredit syarikat
lain. Proses pemindahan itu ditawarkan berserta kadar faedah lebih rendah dan
hadiah tertentu. Tindakan ini bukan menyelesaikan masalah. Untungnya sementara
saja. Jika sikap tidak diperbetulkan, masalah akan terus menekan diri. Pemilik
kad kredit berdepan dengan suasana hidup yang semakin celaru dan krisis moral
yang memerangkap diri.
Pemegang
kad kredit yang tidak membuat apa-apa pembayaran dalam tempoh enam bulan
disifatkan sebagai hutang tidak berbayar (NPL). Sekiranya hutang tersebut tidak
dapat dijelaskan seperti ditetapkan, pemegang kad kredit akan diseret ke
mahkamah. Jika tidak mampu dijelaskan, maka pemegang kad kredit akan diserahkan
kepada Jabatan Pemegang Harta yang akan menguruskan soal kebankrapan. Sesiapa
yang dikenakan status bankrap dipandang hina dalam masyarakat dan hilang
kelayakan dalam hal-hal tertentu.
3. Jiwa muda sukar
mengawal diri daripada keinginan untuk bergaya. Jika boleh semua hendak
kelihatan hebat dan lebih berbanding orang lain. Sedangkan hakikatnya, wang
tunai tidak cukup untuk memenuhi kehendak itu. Maka, sebagai jalan mudah,
mereka menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar. Hidup nampak
bergaya dan menarik pada pandangan orang lain.
Menyenaraikan faktor-faktor memang mudah, tapi bagaimana cara
hendak mengatasi bahana ini?
Yang pertama, pihak
berwajib seharusnya meningkatkan had minimum kelayakan kepada mereka yang
mempunyai pendapatan RM3500 ke atas. Kelayakan yang ditetapkan sekarang ini
terlalu rendah dan tidak sejajar dengan peningkatan kos hidup rakyat.
Kedua, setiap orang yang ingin memiliki kad kredit terutamanya
golongan muda perlu memikirkan kesan penggunaannya. Jangan jadikan kad kredit
sebagai cara mudah memperoleh hutang. Langkah perancangan berkesan yang baik
ialah mengetahui apa yang hendak dibuat dengan wang dan mengetahui perginya
wang itu. Individu mesti mengenal pasti tabiat berbelanja, agar terhindar
daripada berbelanja melebihi daripada pendapatan.
Ketiga, jangan buat permohonan kredit kad yang baru. Walaupun
kita ditawarkan dengan pelbagai hadiah untuk memujuk membuat permohonan baru,
sila elakkan. Pastikan keadaan ekonomi dan kewangan stabil dahulu. Kita kena
belajar menyatakan “tidak mahu” walaupun hati nak sangat hadiah yang
ditawarkan.
Seterusnya, jangan
hanya bayar jumlah minima setiap bulan. Sebagai contoh, hutang kad kredit RM
10,000 akan selesai sepenuhnya selepas lebih 89 pembayaran atau 7.4 tahun
dengan jumlah faedah berbayar RM 4,055. Tetapi, jika kita sentiasa membayar 5%
dari had kredit, (contoh : Had Kredit RM 10,000 dan kita membayar RM 500 setiap
bulan, tanpa mengguna kad kredit itu semula), hutang kad kredit kita akan
selesai dalam masa 2 tahun sahaja!
Kemudian, jika kita
punyai sejumlah wang yang besar, kita boleh gunakan ia untuk mengurangkan atau
menyelesaikan hutang kad kredit anda. Daripada melaburkan wang tersebut ke
dalam akaun simpanan tetap yang hanya memberi pulangan 3.5% setahun atau ke
dalam pelaburan yang hanya beri pulangan 9.25% setahun, adalah lebih sesuai
jika diselesaikan hutang kad kredit yang caj faedah 18% – 21% setahun. Tapi
jika kita tidak mempunyai sejumlah wang yang besar dan hanya boleh
menyelesaikan hutang kad kredit secara ansuran bulanan, kita seharusnya melindungi
diri anda dengan Insurans kad kredit atau Insurans hayat. Ini kerana, jika
berlaku kematian atau cacat keseluruhan (lumpuh) ke atas diri kita, keluarga
kita terpaksa menanggung beban hutang kad kredit anda. Menjadi lumpuh memang
menyusahkan, tetapi menjadi lumpuh tanpa pendapatan berterusan dan hutang yang
banyak adalah lebih perit lagi untuk ditanggung oleh keluarga.
Berita baik, pada 18 Mac 2011, berkuat kuasa dengan serta-merta,
Bank Negara Malaysia telah menetapkan syarat kelayakan baru untuk mendapatkan
kad kredit seperti yang berikut:
- Kelayakan
pendapatan minimum untuk pemegang kad kredit baharu ditetapkan pada
RM24,000 setahun;
Perkara berikut adalah terpakai bagi pemegang kad yang
berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang:
- Pemegang
kad hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja
- Pemegang
kad sedia ada yang memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar kad
diberikan tempoh sehingga akhir tahun 2011 untuk menentukan pengeluar kad
pilihan masing-masing. Pemegang kad juga akan diberikan tempoh
sekurang-kurangnya dua tahun untuk menyelesaikan baki hutang kad kredit
yang telah dibatalkan bagi memenuhi keperluan ini.
- Had
maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad tidak boleh melebihi
dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad bagi setiap pengeluar.
- Pemegang
kad sedia ada yang mempunyai baki hutang kad kredit melebihi had maksimum
kredit yang ditetapkan diberikan tempoh tangguh selama dua tahun untuk
memenuhi keperluan baharu ini.
Akhir sekali ialah dapatkan bantuan pakar. Sekiranya buntu untuk
menyelesaikan masalah kewangan akibat kredit kad, dapatkan bantuan pakar
seperti AKPK dan sebagainya. Jangan memasuki skim yang tidak jelas seperti forex,
internet investment dan sebagainya pula!
Tetapi bagi yang masih lagi mahu memakai kad kredit, fahami
caj-caj lazim:
1. Yuran penyertaan-Pengeluar kad kredit mungkin akan mengenakan
yuran penyertaan kad kredit. Bayaran ini dikenakan sekali sahaja. Yuran ini
mungkin berbeza antara satu institusi pengeluar kad kredit dengan yang lain.
2. Yuran tahunan-Ini adalah yuran sama rata yang perlu dibayar
setahun sekali. Anda dikehendaki membayar yuran tersebut walaupun anda tidak
pernah menggunakan kad kredit anda. Yuran tahunan biasanya adalah di dalam
lingkungan RM60 hingga RM90 untuk kad klasik dan RM130 hingga RM195 untuk kad
emas.
3. Caj kewangan (faedah)-Ini adalah caj yang dikenakan kepada
anda oleh pengeluar kad kredit ke atas baki yang tidak dijelaskan selepas
tarikh tamat tempoh. Caj ini biasanya dikira berdasarkan baki harian. Anda
dinasihatkan supaya meminta pengeluar kad kredit anda memberi penjelasan
mengenai kaedah yang digunakan untuk mengira caj kewangan ini kerana jumlahnya
akan bertambah sekiranya anda tidak membuat pembayaran dalam tempoh yang
ditetapkan.
4. Yuran pendahuluan wang tunai-Ini adalah yuran yang dikenakan
bagi setiap kali pendahuluan wang tunai diperoleh. Yuran ini biasanya 3% hingga
5% daripada jumlah pendahuluan wang tunai yang diambil dan merupakan tambahan
kepada caj kewangan yang dikenakan ke atas jumlah pendahuluan yang diberikan
kepada anda. Caj kewangan dikira bermula daripada tarikh wang tersebut diambil
atau apabila jumlah tersebut tercatat ke dalam akaun kad kredit anda. Jumlah
pendahuluan wang tunai ini mungkin dihadkan untuk setiap pelanggan.
5. Caj bayaran lewat-Ini adalah caj yang dikenakan jika anda
gagal untuk menjelaskan sekurang- kurangnya jumlah bulanan minimum sebelum
tarikh yang ditetapkan. Jika pembayaran dibuat selepas tempoh tanpa faedah
berakhir, anda bukan sahaja dikenakan caj kewangan ke atas baki belum jelas
tetapi juga caj bayar lewat ke atas jumlah bayaran minimum bulanan.
Kad kredit ada baik dan buruknya,
terpulang kepada bagaimana ia diurus dalam merancang kewangan individu dan
keluarga tersayang
Jadi..terpulang ler kome nak gune ke x....'tepuk dada tanya diri' ...kalo nak pakai, pandai-pandai ler urus yerk!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan